Sunday, December 15, 2013

THE HOBBIT : Desolation of Smaug VS Kanak-kanak di Pawagam

Meskipun banyak kerja sepanjang minggu ini, ada isu penting yang aku mahu tulis menerusi blog ini. Iaitu, IBU BAPA yang suka menonton wayang dengan membawa bersama anak kecil mereka (harap-harap anak merekalah).



Semalam aku menonton, karya tulisan novel yang difilemkan di sebuah pawagam baharu di lembah klang. Sebuah novel fantasi ke layar perak dengan sasaran kepada golongan yang mampu membaca novel itu dan juga terhadap peminat filem.

Senang cerita, novel itu kalau aku letak kat TASKA atau NURSERI (termasuk Nurseri yang dera anak orang) bagi anak-anak berumur bawah 6 tahun, aku rasa orang akan anggap aku BODOH. Jadi apa pula pandangan anda tentang ibu bapa yang membawa anak kecil mereka (yang masih dalam dukungan dan yang baru dapat berjalan) menonton filem seperti itu?

Soalnya di sini, meskipun anda peminat filem sekalipun, fasa menjadi ibu bapa sebenarnya satu perkara yang memerlukan perubahan. Jika tempat pertemuan anda berkasih-kasihan dahulu adalah sebuah panggung wayang, kini lokasinya haruslah ditukar. Kerana, anda sudah mempunyai tanggungjawab baru. Menjaga zuriat anda sebaik-baiknya. Ini kerana, pawagam bukan PUSAT SAINS NEGARA, ZOO NEGARA ataupun TAMAN RAMA-RAMA KUALA LUMPUR.

Ini pandangan akulah. Kecuali kau mampu bayar tiket satu panggung tu, hanya kau dan anak kau je tengok.

Semalam filem The Hobbit : The Desolation of Smaug, watak si naga itu MENGAUM serentak dengan tangisan anak-anak kecil ini. Aku tak marahkan si anak kecil. Mereka memang tidak berdosa. Yang aku sedihkan TAHAP pemikiran si ibu dan si bapanya. Bukan satu tangisan. Tapi terdapat 2 lokasi yang kedengaran tangisan bayi / kanak-kanak ini. Sepanjang filem itu, aku sangat kecewa dengan keputusan pasangan tersebut, meskipun aku tidak tahu gerangan mereka.

Sebaik selesai filem itu, aku tunggu melihat jenis ibu bapa yang membawa anak  kecil mereka masuk panggung. Berdasarkan pengamatan awal aku, dan jenis beg yang dibawa oleh mereka, aku tidak rasa, si ibu mahupun si bapa adalah pembaca tegar novel J R R Tolkien (Penulis novel Lord of the Ring). Aku rasa, mereka hanya peminat APA-APA sahaja filem dengan syarat, PERLU menontonnya di panggung.

Ini belum masuk, kanak-kanak bawah 12 tahun yang bercerita tentang filem animasi Madagascar sepanjang tayangan filem yang ditonton ini. Bagi aku, hal ini, meskipun tidak seteruk kanak-kanak bawah 2 tahun, tetapi, sebaiknya diambil iktibar

Ini kerana watak HOBBIT sering dianggap MANUSIA KERDIL yang sering juga digambarkan sebagai watak yang comel dan disukai kanak-kanak. Memang benar, gambaran itu, menerusi animasi fantasi kanak-kanak, SNOW WHITE. Tetapi tidak seperti yang digambarkan menerusi siri THE HOBBIT ini. Meskipun mereka ada menyelitkan babak lucu, ia tetap tidak menyasarkan kepada kanak-kanak. Selepas aksi lucu itu juga, kanak-kanak ‘Madagascar’ ini kembali menyambung cerita mereka mengenai watak Alex, Marty dan Melman dan sebagainya. Kau rasa, nak je bangun, tuding jari telunjuk, cakap kuat-kuat 'SATU, DUA, TIGA ni, sila keluar!'


Aku tidak mahu menghina. Tapi aku rasa, satu tanggungjawab untuk aku kongsikan etika ketika menonton filem di panggung. Semoga kita sama-sama menjadi ibu bapa yang baik.

Monday, November 25, 2013

tafsiran MUDAH, SEKAT kreativiti anak

jangan sekat apa-apa yang anak lakukan. nanti kreativiti mereka terhalang.

itu antara terma-terma yang aku baca dari penulis majalah wanita, termasuk penulis majalah keibubapaan yang menterjemahkan kenyataan pakar motivasi atau pakar kanak-kanak.

bagi hemat aku, penulis berniat baik. susun atur ayat itu, kadang kala dikekang dengan berapa banyak patah perkataan dan muka surat yang dibenarkan. jadi sukar untuk menulis dengan lebih mendalam.

lagi satu, pembaca yang suka mengambil isi penting sahaja. itu kemungkinan-kemungkinan bagi isu tersebut.

senang cerita pada hemat aku juga, kenyataan itu sangat TEPAT pada situasi yang TERTENTU. 

jika benar, semua perbuatan anak tidak boleh dilarang atas dasar menyekat kreativitinya, 

KENAPA TIDAK DIBERIKAN CAT atau PERMANENT MARKER CONTENG SAHAJA KERETA ANDA? 

atau

DIHULURKAN TELEFON PINTAR ANDA UNTUK DICUBA TAHAP KEBOLEHUPAYAAN KETAHANANNYA? 

begitulah pandangan aku terhadap kenyataan itu. tegur anak pada tempatnya. 

sebabnya, aku taknak baca berita anak si polan si polan yang dihempap Smart TV aku!

yang sebetulnya, jika anak anda suka melukis, belikannya kertas lukisan dan pelbagai jenis pena yang mampu mengembang bakatnya. bukan conteng di dinding rumah. 

yang sebetulnya lagi, jika anak suka bermain bola di dalam rumah, larang dahulu. dan luangkan masa untuknya ke taman menyepak bola itu. 

dan banyak lagi. 

maaflah, aku bukan bijak pandai. tapi sekadar menilai tulisan penulis yang kadang kala sekadar memetik petikan orang lain.

Tuesday, October 8, 2013

TEMUDUGA - tuan HAJI!

Berdasarkan kisah benar ...

"Ok, pertama sekali, masa you nak masuk tu. You pergi tanya akak receptionist (confident je dia kakak). Apa pangkat interviewer? Kalau dia Datuk, you acknowledge la dia Datuk. Kalau dia Datin Seri ke, acknowledge dia Datin la. Tapi kalau tuan haji, you acknowledge dia TUAN HAJI juga, walaupun you tak pulak panggil Nabi Muhammad SAW, tuan haji kan?"

Senyap aku seketika.

Saturday, October 5, 2013

menjadi PALSU

Tidak salah untuk menjadi palsu dalam hidup ini. Pada hemat aku, keupayaan menjadi palsu itu satu kematangan dalam hidup pada setiap individu. Ia sebenarnya langkah bijak bagi menjaga hati pihak kedua dan seterusnya. Tujuannya, mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku. 

Misalnya, anda terjumpa seseorang yang bukan penyanyi pujaan anda. Adakah anda mencebiknya di khalayak ramai? Malah sekiranya anda tertentang mata dengannya, tentu anda 'terpaksa' mengukir senyuman? Itu dianggap palsu! Secara ilmiahnya, tidak jujur. Tetapi, sepatutnya ia dianggap jujur dan bukan palsu. Bertentang mata, untuk tersenyum itu, adalah perbuatan yang tidak salah. Anda sebagai manusia berhemah, sedar, senyuman dibalas dengan senyuman. Salam juga disambut dengan salam balas. Yang tidak jujurnya, adalah anda tidak perlu memaki hamun penyanyi itu, dengan pandangan negatif
anda terhadapnya ketika itu. Jadi, selepas senyuman itu, anda adalah PALSU. Kompleks tak?

Tetapi harus diingat, palsu tidak bererti membenarkan PENIPUAN. Palsu dalam konteks ini, adalah berpura-pura. Jadi, palsu itu tidak salah. Demi menjaga hubungan baik sesama manusia.

Friday, October 4, 2013

'YANG' sebagai pemula ayat

Bercerita tentang penggunaan YANG ini, mungkin jarang kita tahu. Sebenarnya YANG boleh digunakan sebagai pemula kata. misalnya.

YANG MANA SATU BINI KAMU? 
YANG TAK MANDI?
YANG DIMAKSUDKAN ADALAH PELAKSANAAN INI.

Jadi janganlah, tambah APA YANG DIMAKSUDKAN ADALAH PELAKSANAAN INI. APA untuk soalan sahaja.

Yang mudah diberikan contoh; 
Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga, 
Yang cantik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

STEVE JOBS yang 'KEJAM'

Bengang!

Itu yang aku dapat katakan selepas baru berpeluang menonton filem mengisahkan pencipta bersama APPLE, yang berjudul JOBS. Bagi aku, Steve Jobs satu contoh yang bagus untuk menjadi seseorang yang dikagumi, tetapi dia bukanlah terlalu sempurna 100 peratus.

Kenapa dan mengapa? Anda haruslah menonton filem ini, dengan hati yang terbuka. Filem ini banyak mencerita asal usul tentang tercetusnya idea mewujudkan sebuah komputer peribadi yang dinamakan Macintosh. Malah, sememangnya adaptasi kisah hidup Jobs, adalah daripada penceritaan semula dari kalangan orang yang mengenalinya.

Pada pandangan peribadi, banyak perkara yang mungkin anda tidak suka akan keperibadian Jobs. Dia banyak meminggirkan rakannya untuk mencapai matlamat dalam hidup. Malah dia yang dianggap gagal dalam percintaan dan perhubungan juga menjadikan hidupnya semakin sukar.

Sebagai peminat gajet Apple, aku rasa cukuplah aku mengagumi produk-produk yang dihasilkannya. Bukan keperibadian dirinya, yang membuatkan aku jelik untuk membaca kisah hidupnya. Begitupun, idea-idea yang datang daripadanya, bernas, meskipun berdasarkan inspirasi orang lain.

Misalnya, idea mewujudkan komputer peribadi, yang dicetuskan dirinya, memang cukup hebat. Peribadi bagi dirinya, setiap orang perlu ada komputer yang khas untuk dirinya. Sebab itulah, kepada mana-mana pengguna iphone, ipad, ipod dan sebagainya, hanya boleh diakses dengan baik sekiranya anda mempunyai itunes.

Contoh mudah, sekiranya anda ingin masukkan sebarang lagu ke dalam iphone anda, capaian itu hanya boleh dilakukan menerusi iTunes sahaja. Jadi, perkara seperti itulah, yang aku rasa, idea itu cukup hebat. Peribadi! Itulah keistimewaanya. Bermakna, susun atur lagu (playlist) dalam ipod itupun mengikut empunya diri. Jadi ia cukup peribadi!

Apa-apapun, kisah hidupnya aku ambil secara positif. Iaitu, semua kemahuan kita, perlu dicapai tidak kira apa-apa rintangan yang dihadapi.

Monday, August 26, 2013

rumah terbuka UNTUK YANG TERPILIH?

RUMAH TERBUKA?

jemputan untuk semua ke? sesiapa je boleh datang ke? dia kawan kau ke?

Itu antara persoalan yang berlegar dalam fikiran aku mengenai penganjuran rumah terbuka dari kalangan orang-orang yang terdekat dengan aku. Di sini, aku ingin kongsikan pandangan peribadi mengenai rumah terbuka sempena musim perayaan. Bagi aku, ada banyak benda yang perlu diberikan perhatian. Selain daripada menu dan juadah, tentu sekali kita mempunyai pelbagai perancangan mengenai penganjuran rumah terbuka.

Sebelum itu, aku mahu kongsikan dan terangkan asal-usul konsep rumah terbuka. Secara jujurnya rumah terbuka kebiasaannya dibuat kalangan orang-orang kenamaan. Misalnya ketua kampung, Perdana Menteri, orang-orang kaya yang dikenali dan sebagainya. Amalan yang diteruskan ini, dianggap berkongsikan kekayaan kepada golongan lain. Jadi, tidak hairanlah penganjurannya cukup meriah.

Tetapi mengikuti peredaran semasa dan pemodenan, semua orang sudah mampu menganjurkan rumah terbuka. Malah, ada kalangan mereka seakan setanding penganjurannya dengan para pemimpin negara. bak kata orang TAK NAK KALAHLAH.



Jadi apabila rakyat malaysia yang sudah menganggap rumah terbuka sebagai amalan setiap keluarga, maka berlakulah persoalan ini ;

Adakah rumah terbuka ini diumumkan kepada kenalan?

Bagaimanakah dengan jumlah menu yang perlu disediakan? cukup ke kalau ajak seramai ini?

Nak jemput kawan yang mana? 

Semua ni kawan mak & ayah je ke?

Sampai pukul berapa?

Banyak permasalahan yang saya fikirkan tentang penganjuran rumah terbuka. Paling utama sekali adalah TETAMU YANG DIJEMPUT. Ini kerana, penggunaan rumah terbuka itu langsung tidak tepat sekiranya hanya orang tertentu sahaja yang menjadi tetamu acara itu. Maka, dari situ sepatutnya tidak wujud terma 'rumah terbuka' jika dikhususkan kepada majlis itu. Ini kerana, ia boleh menyebabkan berlakunya rasa tersisih oleh orang yang tidak dijemput. Walhal, orang tu tak boleh datang sekalipun. Dalam istilah masa kini, SENTAP aku tak dijemput.

Apabila merujuk kepada isu tetamu, maka jumlahnya perlu diberi perhatian. BERAPA RAMAI yang datang dan yang paling penting, DAPAT datang! Terimbas kembali peristiwa seorang pemanggil di sebuah corong radio, yang melepaskan geramnya kerana hanya SATU tetamu yang datang pada 'rumah terbuka' anjurannya. Dia sendiri kecewa dengan rakan-rakan yang tidak dapat hadir, selain memberi pelbagai alasan yang logik mahupun tidak.

Tetapi, dari sudut positifnya, aku melihat ia dapat mengumpulkan rakan taulan dan sanak-saudara kita yang jarang bertemu. Mungkin, rumah kitalah tumpuannya. Itu yang paling menarik. Bagi aku, ada yang bagusnya tentang hal berkenaan.

Jadi, dalam isu ini, aku ingin kongsikan pandangan ini kepada pemilik rumah ataupun individu yang bercadang menganjurkan 'RUMAH TERBUKA' sempena syawal yang masih berbaki kurang 2 minggu ini.

Eloklah digelarkan Majlis Jamuan Raya / Jamuan Raya bersama rakan kerja / Jamuan raya bersama keluarga XX / Jamuan raya bersama kenalan di sekolah

Sekiranya, anda menganjurkan dengan jumlah tetamu jemputan yang terhad dan TERPILIH.

- masalahnya yang terpilih tu DATANG KE TIDAK? -

ok. apa-apapun ini pandangan peribadi. yang barangkali boleh menjadi sebahagian daripada hidup anda.

Wednesday, April 24, 2013

PERIBAHASA oh PERIBAHASA

Jika menegak kebenaran memang sukar. Apatah lagi, kesalahan yang sudah menjadi amalan kebiasaan. Maka, sukar mengubahnya.

Umpama peribahasa ;

SALING tak tumpah.

Sedangkan yang sepatutnya;

SALIN tak tumpah

Penjelasannya; salin air dari bekas yang sama, pastinya air itu tidak tumpah. maka; memang mempunyai sifat dan rupa yang sama!

Jadi, mampukah anda mengubahnya? sukar bukan. Begitu juga dalam kehidupan harian. Sukar mengubah perbuatan yang sudah salah yang dianggap kebiasaan.

Sunday, February 24, 2013

wajarkah LIKE pada status KEMATIAN pada FACEBOOK?

Adakah wajar? 

Adakah dianggap tidak bertepatan? 


atau pemilik akaun yang tidak sensitif?


Baiklah, jika diteliti, banyak perkara yang boleh kita ulas mengenai permasalahan ini. Terutama sekali dari segi etika. Kebiasaan penulisan status ini, sangat bergantung kepada individu. Kebanyakan daripadanya, menulis perihal menyatakan kematian ini, dengan ucapan, sekali lagi UCAPAN. Hampir kebanyakan situasi ini berlaku kepada semua pemilik facebook yang rata-rata membukanya setelah laman sosial ini menjadi trend masa kini.

Baiklah, ada beberapa perkara yang ingin saya gariskan di sini. Isunya, sekali lagi; WAJARKAH MENEKAN IKON 'LIKE' PADA STATUS YANG MEMPERIHALKAN TENTANG KEMATIAN / PENDERITAAN di laman sosial FACEBOOK.

Sebelum itu, menurut wikipedia (sumber rujukan mudah); butang LIKE diperihalkan seperti berikut : 

" Described by Facebook as a way to "give positive feedback and connect with things you care about",[19] users can "like" status updates, comments, photos, and links posted by their friends, as well as adverts, by clicking the "Like" button at the bottom of the content. This makes the content appear in their friends' News feeds.[20]

Antara perkara berbangkit, kewajaran itu, berdasarkan keprihatinan si penulis sebenarnya. Tujuan dan matlamat individu. 

Sebagai contoh yang jarang kita lihat ; 

STATUS FB : SAYA KEMATIAN AHLI KELUARGA

Yang sering kita lihat ;

STATUS FB : MOGA ARWAH DITEMPATKAN BERSAMA-SAMA ORANG YANG BERIMAN 

jadi, dengan doa yang baik sebegini, saya rasa adalah layak untuk kita like.



Maka dengan itu, fikirkan dahulu sebelum bertindak. Ada kalanya tindakan kita tepat. Ada kalanya juga, tindakan kita salah. Ataupun, ada kalanya, tindakan kita disalah erti.

Untuk mengelak hal-hal sebegini, elokkan perpanjangkan butang LIKE itu, kepada menulis komen yang sewajar.

Itu pandangan peribadi saya. Hemat saya ; LIKE pada status DOA / HARAPAN kepada si mati atau pesakit adalah TIDAK SALAH.


Thursday, February 7, 2013

kreativiti yang perlukan penjelasan

produk ini antara yang menarik perhatian . kipas untuk penunggang motosikal? jika ada pihak yang mengetahuinya, sila kongsikan.

Sunday, February 3, 2013

PENCIPTA LOGO?

Aku memang suka akan logo. Mencipta logo impian aku, sebab produk yang aku beli juga bergantung kepada logo produk itu. Buktinya, aku tidak akan membeli serbuk kari jenama X kerana rekaan grafiknya yang sangat mengarut dan tidak kemas. Aku sanggup ingkar arahan ibu, gara-gara tidak suka akan logo jenama itu.

Jadi pada hemat aku, menilai buku dari kulit depannya, adalah WAJAR kepada produk (bukan manusia, takkan aku nak ubah ciptaan tuhan). Ini kerana, sebuah hasil yang bagus, sepatutnya juga dibuat secara menyeluruh. Bukan sahaja di dalam, tetapi di luar. Saya tidak perlukan anda setuju dengan pandangan ini. Tetapi apa salahnya, jika kita hasilkan sesuatu, biarlah, paparan di depannya adalah yang terbaik. Termasuk intipatinya!

Ok! Selamat buat yang terbaik!

Woo Jing Min : BAKAT ADALAH SEMULAJADI, CUMA PERLU DICUNGKIL SAHAJA 

logo 10 tahun tu yang mencacatkan hasil kerja ini pula ; arghh!

* teringat, bos sebuah syarikat pengiklan yang sangat taksub kepada 'signboard'


Tuesday, January 29, 2013

BLIND SPOT atau TITIK BUTA

Aku bukan jurutera automotif. Waima seorang mekanik yang biasa menguruskan hal selok-belok sebuah kenderaan. Aku sekadar peminat dan pengamal grafik selain pencinta bahasa. Bekerja dalam bidang yang berkaitan, aku terpanggil mengadakan sesi kempen keselamatan jalan raya sempena musim perayaan. Daripada situlah aku mempelajari tentang yang dipanggil BLIND SPOT!

Bila bercakap mengenainya, masing-masing mengangguk tanda mengerti makna ; TITIK BUTA atau 'BLIND SPOT'. (Kerana kita enggan mengaku tahap pengetahuan kita). Tetapi adakah anda tahu mengenai cara mengatasi BLIND SPOT ketika memandu?

Yang diperjelaskan, setiap jenis kereta mempunyai kedudukan blind spot yang berbeza. Tetapi ia 100 peratus boleh diatasi dengan teknik yang dijelaskan di sini.

Yang mengajar aku tentang kedudukan BLIND SPOT adalah seorang jurutera yang terlibat dengan penghasilan kenderaan tempatan; PERODUA. Ketika kempen itu, banyak yang aku pelajari. Yang paling penting adalah kedudukan sisi cermin pandang belakang dan cermin pandang sisi untuk mengelak masalah itu.

NOTA : ADALAH SALAH SEKIRANYA PEMANDU MENOLEH KEPALA DAN PANDANGAN MELEBIHI 90 DARJAH KE SISI KERETA SEBELUM MENUKAR LALUAN ATAU MEMBELOK.

Pandangan kita sewajarnya hanya ditumpukan kepada cermin pandang belakang dan cermin sisi sahaja. Ketepatannya sangat membantu anda dalam aspek menukar lorong sekiranya ia berada pada posisi yang betul. Termasuk ketika mengundurkan kenderaan.

Sejak daripada kempen tersebut, saya mendapat teknik yang paling tepat ketika menukar lorong. Caranya;

PERTAMA. Pastikan kedudukan anda paling selesa dengan meletakkan pergelangan tangan pada stereng. Laraskan kedudukan itu, dengan tempat duduk anda.

KEDUA. Laraskan cermin pandang belakang. Kedudukan pandangannya sepatutnya dapat melihat sepenuhnya cermin belakang kenderaan anda.

KETIGA. Condongkan sisi kanan badan anda ke pintu pemandu. Kemudian laraskan cermin sisi anda. Laraskan sehingga pandangan anda HANYA MELIHAT bahagian hujung badan kenderaan anda. Maksudnya, hanya pada bahagian bonet sahaja.

KEEMPAT. Untuk cermin sisi kiri pula, condongkan badan anda ke tengah, selari dengan gear / handbreak. Kemudian laraskan cermin sisi kiri anda sehingga pandangan anda hanya melihat bahagian hujung badan kenderaan anda.

Dengan 4 langkah ini, anda boleh memandu dengan bijak. Semua kereta yang berada di kedua-dua belah kenderaan anda, boleh dilihat dengan tepat. Tanpa perlu menoleh ke kiri sehingga melebihi 90 darjah.

Penjelasan ini, sebenarnya perlukan latihan secara amali. Iaitu perlu diyakinkan dengan visual dan secara praktikalnya.

Jika anda memerlukannya, saya sedia membantu.