[sambungan dari EDISI HARI BAPA / part 2]
“Nik Ani (mak), kenapa perut Ajid (abah) nampak bersinar putih?”
Mak balas jawapan Cik Moh, barangkali perut abah yang disapu minyak. Mak bersembang panjang. Celoteh mak dan sepupunya itu masuk telinga kanan keluar telinga kiri aku. Bukan tak mahu ambil tahu, tapi hati aku sentiasa memikirkan apa sambungan hidup aku dan keluarga jika abah dah tiada.
Masa di temerloh, abah kerja sebagai anggota polis. Pangkatnya kopral sahaja. Mak pulak bantu abah sara kami 8 beradik dengan membuat karipap mini untuk diletak digerai-gerai sekitar bandar temerloh. Kami semua pun bantu mak. Kadangkala aku yang liat bangun awal membantu mak membuat karipap. Mak akan marah, tapi itu memang tanggungjawab mak. Masa dulu kami selalu kelepasan menonton cerita-cerita tv macam alam ria cuti sekolah disebabkan terpaksa bantu mak. Pernah mak beri upah kepada aku daripada hasil jualan karipap mini ini pada kalangan cikgu-cikgu disekolah. Bila ikut mak kutip duit masa nak dekat raya, mak senyum panjang. Mungkin wang itu cukup bantu abah menyara anak-anak termasuk belikan kami baju raya.
Senja pun berlabuh. Aku bingkas bangun dari duduk di hujung kaki abah sambil menuju ke dapur. Ketika itu, azan maghrib berkumandang. Apabila aku memasuki ruang dapur, aku terkejut dengan kehadiran seekor kucing hitam yang agak besar. Seingat aku, rumah cik long masa tuh tak pelihara kucing. Bila aku cakap pada cik long ada kucing masuk dapur, dia suruh aku halau. Aku pun cuba halau dengan menyergah kucing itu, sebaliknya haiwan itu enggan berganjak dan cuba menyelinap masuk ke bahagian ruang tamu. Aku capai penyapu lidi yang disangkut di tepi sinki. Kucing tersebut menyinga seolah cuba melawan. Aku libaskan penyapu ke lantai rumah, menyebabkan kucing itu tersentak. Sehinggalah memaksa aku melibasnya dengan lidi. Aku buka pintu dapur rumah cik long dan menghalaunya. Mujur ia keluar jua akhirnya. Aku maklumkan pada cik long lalu terus capai tuala untuk ke bilik mandi.
Selesai mandi aku tunaikan solat marghrib di bilik kedua rumah itu. Sebabnya tak tahu mengapa, aku rasa seram dengan tindakan aku menghalau kucing hitam itu. Jadi aku segerakan solatku kerana tiada sesiapa di ruangan dapur dan bilik ketika itu. Ketika aku duduk tahyad akhir, aku terdengar orang meraung. Aku tergamam dalam solat. Fikiranku meracau, haruskah aku berhenti dari solat ataupun tidak? Sebabnya, ini kali pertama dalam hidup aku berdepan kematian. Malah, aku hanya menyangka raungan itu berupa tangisan dari mak. Aku ingat masa itu abah dah tiada. Aku sepantas kilat menyudahkan salamku. Tidak kulipat alas sejadah, aku bingkas bangun ke ruang tamu.
Alangkah terkejutnya aku bila melihat tok wan (nenek belah mak) dipegang Ayah Long dan anak-anak lelakinya yang lain. Tok Wan seolah-olah terdampar kesakitan. Tangan tok wan menggengam erat sesuatu. Aku yang panik di tarik kak long duduk sekelompok adik beradikku. Kak Long cakap, tok wan tiba-tiba meracau. Menurut kak long lagi, ketika ayah long berjemaah marghrib di ruang tamu, cik moh (sepupu mak yang tegur benda bersinar putih tadi) turut sertainya. Sebaik memberi salam kedua, Cik Moh dengan kain telekung sembahyang secara tiba-tiba merangkak ke arah abah yang terbaring. Cik Moh tanpa diduga merangkul sesuatu dari perut abah. Dia meronta-ronta seolah-olah kesakitan.
Mak pernah kata, Tok Wan ada ilmu. Menurut kak long lagi, Tok Wan menerpa ke arah Cik Moh yang sedang mengelupur dilantai. Tok Wan yang kudrat menjangkaui umur 80an tiba-tiba menjadi kuat. Pelik benar tingkahnya. Tok Wan dilihat menarik tangan Cik Moh yang mengenggam sesuatu. Ayah Long kini memegang Tok Wan yang meracau. Tak semena-mena tok wan boleh bercakap dialek biasa, tidak seperti kebiasaan. Tok wan hanya fasih bertutur bahasa kelantan. Malah dia memang punyai keluarga di selatan Thai.
Sambil diasak soalan oleh ayah Long, Tok Wan menjawab, DIA datang jauh. DIA datang nak hancur hidup KAU. DIA tak leh bagitau dari mana DIA datang. Padan muka KAU, habiskan duit KAU. Itu antara yang aku ingat, sebab ayah long suruh kami semua baca apa-apa surah bagi Tok Wan pulih sediakala. Seram sejuk jugak tengkuk aku. Naik bulu roma. Bayangkan tokwan punyai rambut panjang ikal yang semuanya putih. Tatkala dia meronta, rambutnya terbuka dari simpulan dan berserabai. Matanya punya hanya nampak putih sahaja. Aku erat memegang adik beradikku.
Abah dari jauh tengok sahaja apa yang berlaku. Abah seolah-olah faham apa yang nenek sebutkan. Mak bersama abah. Kami semua melihat tok wan yang masih dipegang Ayah Long. Puas ayah long baca ayat-ayat suci al quran, tok wan masih seperti dihasut sesuatu. Tatkala azan Isya' berkumandang, tok wan tersedar. Tok Wan cakap, dia tak tahu apa yang berlaku. Tok wan terpinga-pinga reaksinya. Aku takut juga masa tu. Bayangkan pertama kali dalam hidup berdepan adegan misitk. Tapi yang aku fikirkan sehingga kini kenapa tok wan boleh bercakap bukan dalam dialek kelantan, sedangkan tak pernah sekalipun tok wan berbuat demikian.
Semuanya kembali tenang. Mak masih disisi abah. Mengelap badan abah yang semakin lesu. Kurus tubuh abah yang terlunjur di atas lembek disediakan cik Long. Haripun sudah beransur lewat. Semuapun sudah mengantuk. Oleh kerana semakin ramai saudara yang enggan pulang, ramailah yang menumpang tidur di rumah Cik Long. Jadi aku terpaksa tidur di bahagian bawah rumah cik long yang sedang disiapkan berbekalkan tikar dan juga tilam kecil.
“ Abe bangun, mak suruh naik atas sekarang”!
Kejutan ayah su seawal pagi menyebabkan aku jadi tak keruan!
[Bersambung lagi…]
1 comment:
This won't really have success, I believe this way.
anxiety chest pains | airport limousine services | Wedding Venues In Dallas TX
Post a Comment