[sambungan dari EDISI HARI BAPA / part 1]
Sebaik tiba di stesen bas Kota Bharu, kami disambut Ayah Su. Terus dibawa kami ke rumah Cik Long yakni kakak kepada mak di Jalan Telipot. Lepas abah dikeluarkan dari hospital, dimintanya terus dibawa ke rumah Cik Long. Barangkali keakraban abah dengan Ayah Long membuatkan abah selesa berada disitu. Kami sekeluarga pun, jika pulang ke kampung, rumah Cik Longlah tempat kami bertapak.
Setibanya dirumah Cik Long, aku melangkah panjang. Tak sabar melihat abah. Kakak mengekoriku dari belakang. Salam ku beri, terus hampiri mak yang berada disisi abah. Kukucup tangan mak dan pipinya sambil merasai air mata mak yang sudah hampir kering. Aku faham mak sudah lama menahan derita kesedihan. Salam kuhulur pada abah. Tangannya diangkat lemah seolah sudah tak berdaya. Segera kubantu dan kucium tangan abah. Bila kukucup pipi abah, jelas matanya sudah bergenang air mata. Tapi abah mengukir senyum. Barangkali tidak mahu aku dan kakak sedih melihat abah yang sudah terlantar. Kususun duduk dipenjuru sudut, dihujung kaki abah yang berselimut. Ada tetamu yang tidak kukenali diruang tamu. Mungkin kenalan Cik Long yang turut bersimpati dengan abah.
Rumah Cik Long luas. Cik Long dan sekeluarga menjadikan rumah mereka tempat anak-anak jiran dikawasan itu datang mengaji. Abah diletakkan disudut yang kini ruang tamu rumah Cik Long. Cukuplah untuk abah baring. Mak pula sedang sapukan minyak angin Mestika di dada abah. Kata mak, abah selalu rasa senak di dada dan perutnya. Aku pun lihat perut abah dah macam bengkak. Hela nafasnya pun sukar. Mungkin sebab bengkak itu menyukarnya bernafas dan bercakap.
Sambil bercakap dengan tetamu, mak beritahu kami, kakak sulong; kak long akan sampai esok. Dia masih punyai beberapa kertas peperiksaan ketika itu. Seingat aku kertas peperiksaan Sijil Menengah Agama. Pandangan aku beralih kepada adik bongsu aku yang diriba Kak Ngah. Yang lain pula duduk berderet tersusun disatu sudut, adik-adik aku, kak da, dik wan dan kak teh. Mereka dah lama di rumah Cik Long menemani Mak sejak abah dipindahkan ke Kota Bharu.
Hari sudah lewat petang. Tetamu pun mula beransur. Aku bangun dari duduk mengambil beg ke bilik anak lelaki cik Long. Aku letak beg dan segera bersiap untuk menunaikan solat. Biasanya rumah Cik Long, kami sering berjemaah. Jadi aku rasa baik kiranya bersiap awal. Malam seperti biasa, Cik Long sediakan kami makan malam. Kepenatan membuatkan aku terlena disatu sudut. Aku ingat mak kejutkan aku untuk tidur ditempat disediakan. Sempat aku lihat mata abah yang melihat aku yang bingkas bangun. Aku alihkan pandangan aku. Sedih aku lihat renungan abah. Seolah-olah memberitahu aku sesuatu. Terus aku pejamkan mata. Aku harap, esok abah dah sihat!
Subuh esoknya, aku dikejutkan dengan abah yang diusung ke bilik air. Abah nak berwuduk. Ayah Long yang tolong papah abah naik kerusi roda. Ditolak mak ke bilik air. Beberapa minit kemudian abah yang berkain pelikat keluar dengan tuala didadanya. Aku nampak abah bersiap untuk bersolat. Tapi abah bersolat diatas kerusi malas. Mulut abah berkumat kamit.
Aku bangun segera ke dapur. Dah riuh pagi itu. Cik Long memang peramah orangnya. Pagi-pagi lagi dah banyak ceritanya. Aku mandi dan terus tunaikan solat seorang diri dibilik anak lelakinya dihujung sekali. Bila semua dah bersiap, kami bersarapan pagi.
Awal pagi lagi dah ada orang datang. Saudara-mara mak dan abah juga mungkin kenalan Cik Long juga. Ada yang aku kenal dan ada yang tak. Mereka datang lawat abah. Mereka hulur wang buat mak. Simpati barangkali lihat kami 8 beradik masih kecil-kecil lagi.
Aku tunggu Kak Long sampai. Aku duduk kat tangga rumah Cik Long. Aku tak tahu nak buat apa. Nak borak dengan abah, abah dah tak larat nak berbicara. Mak pula tentunya terpaksa melayan tetamu. Bila Kak Long sampai, aku sedikit gembira. Tapi wajah Kak Long lesu. Mungkin penat dalam perjalanan. Bila Kak Long salam abah, aku nampak air mata abah mengalir. Kak Long tentu anak kesayangan abah. Sebab kak Long mesti banyak kenangan dengan abah. Kak Long anak pertama abah. Malah kak Long harapan abah untuk anak-anaknya yang lain. Abah usap air matanya. Kak Long duduk dekat mak. Situasinya sama ketika aku sampai semalam. Banyak yang ditanya mak. Tentu bicaranya tentang peperiksaan kak Long.
Hari dah hampir gelap. Ada tetamu yang pulang. Aku masih disisi mak, kak long dan abah. Ketika azan maghrib berkumandang, kami dikejutkan dengan kehadiran 2 sepupu mak; Cik Tek dan Cik Moh. Mereka meminta maaf sebab lewat kerana baru pulang dari tempat kerja. Sebaik melangkah masuk ke ruang tamu, Cik Moh menyapa mak yang sedang menyapu minyak angin pada perut abah.
“Nik Ani (mak), kenapa perut Ajid (abah) nampak bersinar putih?”
[Bersambung lagi…]
2 comments:
wow... sy pasti tidak setabah anda. tidak dapat bygkan bila tiba waktunya. keep writing ya
i just cant imagine how am i going to face such situation.. be strong and please continue with the next chapter..
Post a Comment