Monday, June 28, 2010

EDISI HARI BAPA / part 4

[sambungan dari EDISI HARI BAPA / part 3]

“Abe bangun, mak suruh naik atas sekarang!"

Kejutan ayah su seawal pagi menyebabkan aku jadi tak keruan!

Ayah su cakap, abah dah tenat! Tak sempat ayah su menyambung ayatnya, aku sudah langkah panjang. Sepupu lain sedang enak tidur. Aku berlari memanjat tangga rumah cik long ke tingkat atas. Aku sudah tidak tahu apa yang patut aku fikirkan. Pintu rumah cik long ku kuakkan sehingga terbuka luas. Terhenti aku didepan pintu itu bila melihat barisan adik beradikku mengelilingi abah yang sedang terbaring atas kerusi malas. Mak ada disisi abah. Yang lain ahli keluarga cik long, su dan semuanya ada disekelilingnya.

Sebaik aku sampai, abah mengangkat tangannya. Aku tak dengar abah bercakap. Hanya mak yang menangis teresak-esak. Abah menuding ke arah kami seolah-olah membilang anak-anaknya. Kehadiran aku melengkapkan bilangan anaknya. Kak Long, Kak Ngah, Kak Cik, Aku, Kak Da, Dik Wan, Kak Teh dan adik bongsu kami, Zafran. Semuanya duduk disisi abah. Sewaktu abah menuding ke arahku, deraian air mataku laju membasahi pipi. Abah!

Ayah Long suruh mak bisikkan kalimah syahadah ditelinga abah. Sayunya suasana ketika itu. Tiada lagi yang aku boleh tangiskan selain menyulam perasaaan yang amat sedih dalam hidup ini. Abah dah nak pergi tinggalkan kami? Abah akan pergi tanpa kami? Abah kenapa pergi terlalu awal? Kami belum balas jasa abah. Abah tak nak tengok kami masuk Universiti? Abah tak nak tengok anak abah gengam segulung ijazah nanti? Abah tak sayang kami? Itu yang aku fikirkan. Aku sedih saat itu. Aku letakkan kepala aku dibirai kerusi malas abah. Aku tunduk kerana ayah long cakap jangan nangis lagi. Kata ayah long, tak baik nangis. Biar abah selesaikan mengucap.

Bila Kak Cik cakap kaki abah dah sejuk. Mak semakin kuat menangis sambil memeluk adik bongsu kami. Mak beberapa kali mengajar abah mengucap. Dan abah sempurnakannya sebaik mungkin. Aku tengok abah masa tu. Matanya sayu untuk meninggalkan kami. Pandangan raut wajah abah sewaktu mengira kesemua anaknya tadi masih tergambar dalam fikiranku. Memang abah sayangkan anak-anaknya, tapi Allah maha kuasa.

Tepat jam 6.23 pagi abah menghembuskan nafas terakhir. Mak sentiasa bersama adik bongsu yang sewaktu itu berusia 3 tahun. Mak d isisi abah lagi sewaktu abah sudah tidak bernafas lagi. Sayu aku lihat mak ketika itu. Dugaan untuk mak amat besar. Sewaktu kami masih lagi membesar, abah tinggalkan mak untuk seorang diri menyara kami. Kak Long, Kak Ngah, Kak Cik dan semua kami saling memeluk antara kami. Tangisan kami disaksikan semua yang ada di ruang tamu rumah cik long. Sedihnya bila abah dah tiada. Bila abah tinggalkan kami semua.

Ayah long mengusap raut wajah abah. Matanya dibiarkan rapat. Diangkat abah ke lembek sebelah kerusi malasnya. Cik Long mencari kain batik lepas buat penutup abah. Adik abah, Makcik Nah tiba di rumah cik long. Masa itu bertambah sayu lagi. Mak Cik Nah peluk mak. Kami tahu mak cik nah sayang sangat pada abangnya ini. Abah sememangnya baik dengan semua orang. Malah kalau mak gaduh dengan adik beradiknya, abahlah menjadi orang tengah memulihkan keadaaan. Mungkin sebab beza umur yang dekat menyebabkan abah rapat dengan makcik nah.

Abah disempurnakan pagi itu juga. Sebagai anggota polis, semua urusan pengebumian diselenggarakan oleh pihak polis. Mujurlah tak susahkan ayah long nak ke sana sini mencari van jenazah dan sebagainya. Abah akan disemadikan di tanah perkuburan kg kubur maras lepas solat zohor. Aku hanya membaitkan bacaan yassin disisi abah. Mak cakap baca banyak-banyak bagi abah tenang di sana. Setiap kali aku sudahkan ayat pertama, aku terus menangis. Bila ada saudara hampiri dan peluk aku, aku nangis lagi. Sedih. Sedih sangat sebab aku tak besar lagi. Aku tak nak abah tinggalkan aku. Sehinggalah abah diusung untuk dimandikan. Barulah mak suruh aku beredar.

Abah dibawa ke atas kembali. Abah dah dimandikan. Abah dikapankan. Wajah abah bersih. Tak sikit pun ada cacat celanya. Abah kini dah siap untuk dibawa untuk disembahyangkan. Bila semua dah sedia, tok imam yang menguruskan abah, memanggil ahli keluarga melihat wajah abah bagi tatapan terakhir. Aku diheret ke depan oleh kak long. Yang lain menuruti kami. Mak kendong adik. Mak dah kelihatan tenang. Tapi bila mak disisi abah suruh adik cium abah, mak nangis lagi. Sehinggalah kak long dipanggil. Kak Long cium abah. Kak Long kucup dahi abah. Pejam mata kak Long tahan sebak. Bila kak Long kembali pada aku, kak long hampir lemah. Kak Long menangis makin kuat. Aku tahan sebak itu. Bila giliran aku, aku kucup dahi abah. Aku pesan pada abah, aku sayang abah. Moga abah tenang. Sehinggalah giliran Kak Teh, adik bongsu kedua.

Bila dah selesai. Aku disuruh naik van jenazah sekali dengan abah. Urusannya kini solat jenazah. Solat disempurnakan di Masjid Langgar. Jemaah lain turut serta. Aku pun sama. Sehinggalah jenazah abah dibawa ke kubur. Ramai juga yang menanti. Aku hanya duduk disisi ayah Long. Sebab aku masih kecil. Aku turut membaling ketulan tanah-tanah kecil di liang lahad. Sebabnya, aku rasa aku berhak tolong sempurnakan abah. Sebaik selesai abah ditanam, bacaan talkin pun disempurna.

Apapun yang berlaku, aku percaya ini suratan takdir. Allah itu maha kuasa. Dia dah menentukan setiap kehidupan ini. Namun aku sehingga kini kesal dengan apa yang berlaku. Peliknya sehingga kini tidak terungkai. Apakah signifikasi adegan sepupu mak; cik moh dan ibu mak; tok wan dirasuk itu? Kenapa tok wan sehingga bisa berbicara bahasa yang tidak menjadi kebiasaannya? Itu yang sering berlegar dibenak fikiranku.

Sehinggalah aku bermimpi. Abah datang pada aku dan bisikkan, “biarlah Allah membalasnya”. Apa yang aku hairankan sejak dari abah dah tiada salah seorang sikap jiran kami yang juga rakan sekerja abah di Temerloh amat berbeza. Selang rumahnya dengan rumah sewa kami dalam 7 buah rumah. Abah dulu akrab dengannya. Malah pernah kami pulang ke kampungnya di Melaka. Amat pelik lepas abah tiada, ahli keluarga enggan berbual dengan kami. Malah program anjuran persatuan isteri polis juga tidak disertainya. Sehinggalah satu ketika, tuan rumah kepada jiran kami itu memberitahu bahawa keluarga mereka telah berpindah pada suatu malam dengan meyelitkan sewa bulanan dibawah pintu rumah. Peliknya juga, sebab berpindah di tengah malam dan tanpa meminta bantuan sesiapa. Biasanya jika anggota polis nak berpindah, tentu diminta bantuan trak polis. Setidak-tidaknya maklumkan kepada jiran tetangga bagi kerja-kerja menolong. Tapi tidak pada jiran aku kali ini. Aku sendiri tidak pasti.

Oleh kerana sikap aku enggan menerima kekuasaan ilmu mistik seperti ilmu guna-guna dan sebagainya, aku diamkan hingga kini. Tapi pernah seketika aku mahu merungkainya. Aku mahu tahu kenapa ia berlaku? Kenapa jiran kami dan juga kawan rapat abah itu melarikan diri dari kami. Apakah kesalahan kami kepada mereka sehingga mereka melarikan diri sedemikian? Dengan kuasa teknologi, aku rasa aku temui anaknya dalam laman facebook, namun belum terbuka pintu hati aku untuk berbual dengannya. Sebab aku bimbang perasaan yang buruk menguasai sikap aku untuk menjejaki apa sebenarnya yang berlaku. Sebabnya aku mahu ikut pesan abah; ‘biar Allah yang membalasnya’.



Buat abah, moga abah tenang dan ditempatkan dengan kalangan orang-orang beriman. amin.

[ SEMPURNA . aku tinggalkan sehingga ini sahaja. ]

Sunday, June 27, 2010

EDISI HARI BAPA / part 3

[sambungan dari EDISI HARI BAPA / part 2]

“Nik Ani (mak), kenapa perut Ajid (abah) nampak bersinar putih?”

Mak balas jawapan Cik Moh, barangkali perut abah yang disapu minyak. Mak bersembang panjang. Celoteh mak dan sepupunya itu masuk telinga kanan keluar telinga kiri aku. Bukan tak mahu ambil tahu, tapi hati aku sentiasa memikirkan apa sambungan hidup aku dan keluarga jika abah dah tiada.

Masa di temerloh, abah kerja sebagai anggota polis. Pangkatnya kopral sahaja. Mak pulak bantu abah sara kami 8 beradik dengan membuat karipap mini untuk diletak digerai-gerai sekitar bandar temerloh. Kami semua pun bantu mak. Kadangkala aku yang liat bangun awal membantu mak membuat karipap. Mak akan marah, tapi itu memang tanggungjawab mak. Masa dulu kami selalu kelepasan menonton cerita-cerita tv macam alam ria cuti sekolah disebabkan terpaksa bantu mak. Pernah mak beri upah kepada aku daripada hasil jualan karipap mini ini pada kalangan cikgu-cikgu disekolah. Bila ikut mak kutip duit masa nak dekat raya, mak senyum panjang. Mungkin wang itu cukup bantu abah menyara anak-anak termasuk belikan kami baju raya.

Senja pun berlabuh. Aku bingkas bangun dari duduk di hujung kaki abah sambil menuju ke dapur. Ketika itu, azan maghrib berkumandang. Apabila aku memasuki ruang dapur, aku terkejut dengan kehadiran seekor kucing hitam yang agak besar. Seingat aku, rumah cik long masa tuh tak pelihara kucing. Bila aku cakap pada cik long ada kucing masuk dapur, dia suruh aku halau. Aku pun cuba halau dengan menyergah kucing itu, sebaliknya haiwan itu enggan berganjak dan cuba menyelinap masuk ke bahagian ruang tamu. Aku capai penyapu lidi yang disangkut di tepi sinki. Kucing tersebut menyinga seolah cuba melawan. Aku libaskan penyapu ke lantai rumah, menyebabkan kucing itu tersentak. Sehinggalah memaksa aku melibasnya dengan lidi. Aku buka pintu dapur rumah cik long dan menghalaunya. Mujur ia keluar jua akhirnya. Aku maklumkan pada cik long lalu terus capai tuala untuk ke bilik mandi.

Selesai mandi aku tunaikan solat marghrib di bilik kedua rumah itu. Sebabnya tak tahu mengapa, aku rasa seram dengan tindakan aku menghalau kucing hitam itu. Jadi aku segerakan solatku kerana tiada sesiapa di ruangan dapur dan bilik ketika itu. Ketika aku duduk tahyad akhir, aku terdengar orang meraung. Aku tergamam dalam solat. Fikiranku meracau, haruskah aku berhenti dari solat ataupun tidak? Sebabnya, ini kali pertama dalam hidup aku berdepan kematian. Malah, aku hanya menyangka raungan itu berupa tangisan dari mak. Aku ingat masa itu abah dah tiada. Aku sepantas kilat menyudahkan salamku. Tidak kulipat alas sejadah, aku bingkas bangun ke ruang tamu.

Alangkah terkejutnya aku bila melihat tok wan (nenek belah mak) dipegang Ayah Long dan anak-anak lelakinya yang lain. Tok Wan seolah-olah terdampar kesakitan. Tangan tok wan menggengam erat sesuatu. Aku yang panik di tarik kak long duduk sekelompok adik beradikku. Kak Long cakap, tok wan tiba-tiba meracau. Menurut kak long lagi, ketika ayah long berjemaah marghrib di ruang tamu, cik moh (sepupu mak yang tegur benda bersinar putih tadi) turut sertainya. Sebaik memberi salam kedua, Cik Moh dengan kain telekung sembahyang secara tiba-tiba merangkak ke arah abah yang terbaring. Cik Moh tanpa diduga merangkul sesuatu dari perut abah. Dia meronta-ronta seolah-olah kesakitan.

Mak pernah kata, Tok Wan ada ilmu. Menurut kak long lagi, Tok Wan menerpa ke arah Cik Moh yang sedang mengelupur dilantai. Tok Wan yang kudrat menjangkaui umur 80an tiba-tiba menjadi kuat. Pelik benar tingkahnya. Tok Wan dilihat menarik tangan Cik Moh yang mengenggam sesuatu. Ayah Long kini memegang Tok Wan yang meracau. Tak semena-mena tok wan boleh bercakap dialek biasa, tidak seperti kebiasaan. Tok wan hanya fasih bertutur bahasa kelantan. Malah dia memang punyai keluarga di selatan Thai.

Sambil diasak soalan oleh ayah Long, Tok Wan menjawab, DIA datang jauh. DIA datang nak hancur hidup KAU. DIA tak leh bagitau dari mana DIA datang. Padan muka KAU, habiskan duit KAU. Itu antara yang aku ingat, sebab ayah long suruh kami semua baca apa-apa surah bagi Tok Wan pulih sediakala. Seram sejuk jugak tengkuk aku. Naik bulu roma. Bayangkan tokwan punyai rambut panjang ikal yang semuanya putih. Tatkala dia meronta, rambutnya terbuka dari simpulan dan berserabai. Matanya punya hanya nampak putih sahaja. Aku erat memegang adik beradikku.

Abah dari jauh tengok sahaja apa yang berlaku. Abah seolah-olah faham apa yang nenek sebutkan. Mak bersama abah. Kami semua melihat tok wan yang masih dipegang Ayah Long. Puas ayah long baca ayat-ayat suci al quran, tok wan masih seperti dihasut sesuatu. Tatkala azan Isya' berkumandang, tok wan tersedar. Tok Wan cakap, dia tak tahu apa yang berlaku. Tok wan terpinga-pinga reaksinya. Aku takut juga masa tu. Bayangkan pertama kali dalam hidup berdepan adegan misitk. Tapi yang aku fikirkan sehingga kini kenapa tok wan boleh bercakap bukan dalam dialek kelantan, sedangkan tak pernah sekalipun tok wan berbuat demikian.

Semuanya kembali tenang. Mak masih disisi abah. Mengelap badan abah yang semakin lesu. Kurus tubuh abah yang terlunjur di atas lembek disediakan cik Long. Haripun sudah beransur lewat. Semuapun sudah mengantuk. Oleh kerana semakin ramai saudara yang enggan pulang, ramailah yang menumpang tidur di rumah Cik Long. Jadi aku terpaksa tidur di bahagian bawah rumah cik long yang sedang disiapkan berbekalkan tikar dan juga tilam kecil.

“ Abe bangun, mak suruh naik atas sekarang”!

Kejutan ayah su seawal pagi menyebabkan aku jadi tak keruan!

[Bersambung lagi…]

Thursday, June 24, 2010

EDISI HARI BAPA / part 2

[sambungan dari EDISI HARI BAPA / part 1]

Sebaik tiba di stesen bas Kota Bharu, kami disambut Ayah Su. Terus dibawa kami ke rumah Cik Long yakni kakak kepada mak di Jalan Telipot. Lepas abah dikeluarkan dari hospital, dimintanya terus dibawa ke rumah Cik Long. Barangkali keakraban abah dengan Ayah Long membuatkan abah selesa berada disitu. Kami sekeluarga pun, jika pulang ke kampung, rumah Cik Longlah tempat kami bertapak.

Setibanya dirumah Cik Long, aku melangkah panjang. Tak sabar melihat abah. Kakak mengekoriku dari belakang. Salam ku beri, terus hampiri mak yang berada disisi abah. Kukucup tangan mak dan pipinya sambil merasai air mata mak yang sudah hampir kering. Aku faham mak sudah lama menahan derita kesedihan. Salam kuhulur pada abah. Tangannya diangkat lemah seolah sudah tak berdaya. Segera kubantu dan kucium tangan abah. Bila kukucup pipi abah, jelas matanya sudah bergenang air mata. Tapi abah mengukir senyum. Barangkali tidak mahu aku dan kakak sedih melihat abah yang sudah terlantar. Kususun duduk dipenjuru sudut, dihujung kaki abah yang berselimut. Ada tetamu yang tidak kukenali diruang tamu. Mungkin kenalan Cik Long yang turut bersimpati dengan abah.

Rumah Cik Long luas. Cik Long dan sekeluarga menjadikan rumah mereka tempat anak-anak jiran dikawasan itu datang mengaji. Abah diletakkan disudut yang kini ruang tamu rumah Cik Long. Cukuplah untuk abah baring. Mak pula sedang sapukan minyak angin Mestika di dada abah. Kata mak, abah selalu rasa senak di dada dan perutnya. Aku pun lihat perut abah dah macam bengkak. Hela nafasnya pun sukar. Mungkin sebab bengkak itu menyukarnya bernafas dan bercakap.

Sambil bercakap dengan tetamu, mak beritahu kami, kakak sulong; kak long akan sampai esok. Dia masih punyai beberapa kertas peperiksaan ketika itu. Seingat aku kertas peperiksaan Sijil Menengah Agama. Pandangan aku beralih kepada adik bongsu aku yang diriba Kak Ngah. Yang lain pula duduk berderet tersusun disatu sudut, adik-adik aku, kak da, dik wan dan kak teh. Mereka dah lama di rumah Cik Long menemani Mak sejak abah dipindahkan ke Kota Bharu.

Hari sudah lewat petang. Tetamu pun mula beransur. Aku bangun dari duduk mengambil beg ke bilik anak lelaki cik Long. Aku letak beg dan segera bersiap untuk menunaikan solat. Biasanya rumah Cik Long, kami sering berjemaah. Jadi aku rasa baik kiranya bersiap awal. Malam seperti biasa, Cik Long sediakan kami makan malam. Kepenatan membuatkan aku terlena disatu sudut. Aku ingat mak kejutkan aku untuk tidur ditempat disediakan. Sempat aku lihat mata abah yang melihat aku yang bingkas bangun. Aku alihkan pandangan aku. Sedih aku lihat renungan abah. Seolah-olah memberitahu aku sesuatu. Terus aku pejamkan mata. Aku harap, esok abah dah sihat!

Subuh esoknya, aku dikejutkan dengan abah yang diusung ke bilik air. Abah nak berwuduk. Ayah Long yang tolong papah abah naik kerusi roda. Ditolak mak ke bilik air. Beberapa minit kemudian abah yang berkain pelikat keluar dengan tuala didadanya. Aku nampak abah bersiap untuk bersolat. Tapi abah bersolat diatas kerusi malas. Mulut abah berkumat kamit.

Aku bangun segera ke dapur. Dah riuh pagi itu. Cik Long memang peramah orangnya. Pagi-pagi lagi dah banyak ceritanya. Aku mandi dan terus tunaikan solat seorang diri dibilik anak lelakinya dihujung sekali. Bila semua dah bersiap, kami bersarapan pagi.

Awal pagi lagi dah ada orang datang. Saudara-mara mak dan abah juga mungkin kenalan Cik Long juga. Ada yang aku kenal dan ada yang tak. Mereka datang lawat abah. Mereka hulur wang buat mak. Simpati barangkali lihat kami 8 beradik masih kecil-kecil lagi.

Aku tunggu Kak Long sampai. Aku duduk kat tangga rumah Cik Long. Aku tak tahu nak buat apa. Nak borak dengan abah, abah dah tak larat nak berbicara. Mak pula tentunya terpaksa melayan tetamu. Bila Kak Long sampai, aku sedikit gembira. Tapi wajah Kak Long lesu. Mungkin penat dalam perjalanan. Bila Kak Long salam abah, aku nampak air mata abah mengalir. Kak Long tentu anak kesayangan abah. Sebab kak Long mesti banyak kenangan dengan abah. Kak Long anak pertama abah. Malah kak Long harapan abah untuk anak-anaknya yang lain. Abah usap air matanya. Kak Long duduk dekat mak. Situasinya sama ketika aku sampai semalam. Banyak yang ditanya mak. Tentu bicaranya tentang peperiksaan kak Long.

Hari dah hampir gelap. Ada tetamu yang pulang. Aku masih disisi mak, kak long dan abah. Ketika azan maghrib berkumandang, kami dikejutkan dengan kehadiran 2 sepupu mak; Cik Tek dan Cik Moh. Mereka meminta maaf sebab lewat kerana baru pulang dari tempat kerja. Sebaik melangkah masuk ke ruang tamu, Cik Moh menyapa mak yang sedang menyapu minyak angin pada perut abah.

“Nik Ani (mak), kenapa perut Ajid (abah) nampak bersinar putih?”

[Bersambung lagi…]

Sunday, June 20, 2010

EDISI HARI BAPA / part 1

Bila ada teman rapat aku cakap, semua filem aku akan menangis, aku akur! Mudah tersentuh antara sifat aku. Kadangkala pabila rakan sekerja aku si Jasmine cerita hal sedih, aku pun mula bergenang air mata. Dia juga ratu air mata. Bila orang ajuk sifat itu, aku cakap, hati aku bukan Kristal – tetiba jadi Julia Rais!

Nak dijadikan cerita, masa tengah menjadi prompter roller untuk berita edisi 7 jam 1 petang tadi (20 Jun 2010), aku terpana dengan laporan rakan setugas yang menceritakan tentang seorang bapa yang kembali ke pangkuan jalan selepas dipenjarakan sebagai penagih. Malah, dari kerut wajahnya, tergambar kepayahannya melalui hidup ini. Kasihan pun ada pabila dia mengimbau kembali kenangan anaknya yang cuba menjejakinya. Mesej ‘saya masih sayang ayah ’ membuatkan air mata aku laju melereti pipi.

EDISI HARI BAPA / part 1

Ya, kalian lain bila aku diejek teman-teman. Sedih atau jiwang bukan soalnya. Jawabnya adalah aku juga sayang ayah aku. Selepas pemergiannya pada tahun 16 September 1993, aku rasa sukarnya hidup ini. Bahkan tatkala mengenangkan keringat ibuku yang terpaksa memelihara kami 8 beradik.

Abah dahulu tak banyak bicaranya. Kami adik beradik faham ketika abah meninggikan suaranya. Maknanya, patuh kepada arahan seterusnya. Tapi jarang sekali berlaku. Abah banyak bersabar barangkali.

Saat aku dan kakak aku dipanggil ketika perhimpunan minggu aktiviti membuatkan aku tak keruan. Kakak dah menangis dahulu. Aku pula, masih berfikir; adakah kami disuruh pulang ke Kota Bhrau untuk melihat abah sakit atau abah telah tiada?

Namun kami diberitahu… abah sakit tenat. Itu sahaja yang dimaklumkan. Cikgu Nik Aziz, ketua guru asrama ketika itu, tidak banyak bicaranya. Segera sahaja menyuruh kami kembali ke asrama dan mengemaskan pakaian untuk pulang ke Kota Bharu. Ketika itu abah masih bertugas di Temerloh. Bila diarahkan pulang ke Kota Bharu, ia seolah-olah titik hitam dalam hidupku. Abah dah tiada?

Perjalanan aku melangkah naik van maktab disaksikan rakan-rakan aku yang lain. Mesti mereka tertanya-tanya kenapa aku dan kakakku bersurai dari perhimpunan. Tapi itu bukan soalnya. Yang lebih sedih aku. Kenapa abah sakit dan kenapa ketika aku masih disini, abah nak pergi. Itu yang bermain dibenak fikiranku.

Sedih bukan kepalang. Sepanjang perjalanan, sebaik tersedar dari lena, kami hanya menangis. Merah mata pun tak surut biarpun perjalanan mengambil masa lebih 8 jam ke Kota Bharu. Malah ada penumpang yang baik hati menghulurkan wang saguhati kepada kami sebaik bertanya kenapa kami menangis.

[Nanti aku teruskan bait-bait cerita ini. Banyak juga yang pelik berlaku. Biar aku catatkan bagi kenangan kepada diriku…. ]

WRITING is not EASY

Menulis bukan mudah.

Malah kadangkala bahasa dan lenggoknya sahaja membuatkan orang faham atau tidak!

Bahkan aku tidak hairan jika orang selalu membetulkan ayat atau perkataan yang kita bina. Sebabnya, setiap orang ada cara tersendiri. Kadangkala jika terubah ritmanya, maka bercanggahlah maksudnya. Faham atau tidak itu persoalannya! Fuh!

Oh, bukan aku menyalahkan sesiapa. Tapi sukar bagi kita membaca buah fikiran orang jika ketidakbukaan menerima pandangan. Sebagaimana sebelum ini, aku pernah berkata mengenai isu rekabentuk dan prisip! Jadi aku tak hairan ia berlaku dalam aspek penulisan.

Ketika di kelas bahasa yang aku hadiri sebelum ini dan berdasarkan panduan selepas tamat pengajian SPM pada tahun 1997, aku yakin dengan beberapa petunjuk tatabahasa. Malah dengan kursus itu juga, banyak membimbing kepada penggunaan perkataan yang tepat; tetapi bukan struktur ayatnya!

Bagi aku struktur ayat bergantung kepada banyak perkara. Jikalau diceritakan pasti membosankan. Sama seperti sewaktu belajar subjek rekabentuk dahulu. Kadang-kadang terpaksa sahaja akur dengan kehendak yang bercanggah. Kadangkala… boleh aja! Semuanya subjektif bukan?

OK, barangkali ada ‘NAHU’nya dalam memperbetul perkataan! Lihat? Kata sifat seperti MEMPERCANTIK – tak perlu ada imbuhan KAN! Contoh lain ; MEMPERELOK, MEMPERKEMAS, MEMPERHEBAT. Tapi kesudahbiasaan kita menggunakan MEMPERCANTIKKAN… menyebabkan kita sukar berubah! Jadi, jadilah anda sahaja, berubah atau tak mahu berubah!

[tema bukan berang, tapi ingatan kepada diriku… supaya sentiasa berubah]

Saturday, June 5, 2010

FLYING with RapidKL

Selepas tragedi menimpa ke atas keretaku, penyelesaian terbaik aku berulang-alik tempat kerja adalah dengan menaiki perkhidmatan awam disediakan. Perjalanannya rumit jika di beritahu. Tapi aku perlu jelaskan. Namun, bagi mereka yang faham selok belok di Kuala Lumpur, mungkin senang faham. Tapi tidak bagi yang lain barangkali, ia tak semudah bas transnasional yang berhenti seketika di hab KOK MAJID in jajahan tumpat! kan Abg Kerol! dan mungkin ada yang lain...

Perjalanannya seperti berikut ;

Dari rumah di BANDAR SUNWAY ; perlu menaiki bus menghala ke KUALA LUMPUR. Mana2 bas dengan tambang seringgit RAPIDKL ataupun METRO BUS.

Kemudian berhenti di area ASIA JAYA. Berlari-lari anak ala menunaikan umrah mahupun haji, ke arah stesen LRT ASIA JAYA dengan menaiki tren bernilai RM 1.30. Jika terlewat, lebih dari jam 7.45 pagi, tunggu sahaja bus METRO yang sesak di hab ASIA JAYA ke BANDAR UTAMA.

Oleh kerana tak mahu seperti rakyat jelata mengeluarkan wang tunai, sebaliknya menggunakan TOUCH & GO, jarang sekali menggunakan perkhidmatan METRO bas dari situ kerana logo syarikatnya yang tak cantik. Sebaliknya sanggup saja menaiki tren ke KELANA JAYA.

Di KELANA JAYA, cabarannya adalah menunggu bas No U89 ke BANDAR UTAMA. Jika terlepas bas itu, perlu seberang jejambat dan dapat naiki bas dari PUCHONG ke BANDAR UTAMA.

Ops, tentu ada yang tak faham. Tak pe, bermakna anda tak layak lagi jadi orang KL! Ni belum perjalanan pulang. Lain pula perjalanannya. Apapun, perkhidmatan RAPIDKL sebenarnya tidak mengecewakan malah bangga dengan khidmatnya. Pemandunya juga berhemah. Mungkin untuk orang terpilih je kot.

Bila orang cakap perkhidmatan bas tak tepati masa, memang betul sebabnya jalan raya pun sesak. Jadi anda naik kereta pun, sampai rumah pun lewat juga. Apatah lagi dengan bas. menurut salah seorang warga asing di Kuala Lumpur dulu, KUALA LUMPUR was built after the invention of cars! Its not like LONDON, bandarnya wujud sebelum adanya kereta. Bila fikir-fikir balik, tepat juga alasannya. Malah paling tepat, berani ke jalan kaki dari Bukit Kerinchi ke KLCC tengah panas buta tanpa shade AX mahupun RayBan?

Apapun, semua itu kenangan terbaik untuk diriku. Dulu pun masa mula-mula bekerja di Kuala Lumpur, perjalanan ke rumah dengan perkhidmatan Bas dan LRT pun sukar juga. 2 jam perjalanan. Jaraknya dari KL golden triangle ke kg melayu subang.

Lepas ni pasti rindu nak naik bus lagi, sambil balas2 facebook mahupun berblog!

[ENDS]