Aku nekad, raya ini, akan ku hadiahkan seutas jam tangan buat mak. Jam arwah abah tu hilang ketika rumah kami dimasuki pencuri. Banyak juga yang dikebasnya. Termasuklah juga cermin mata hitam milik abah.
Jam tangan ini arwah abah beli dengan menukarkan yang lamanya kepada yang baru. Jam lama abah warna silver, guna kuasa kenetik. Kalau lama tak dipusingkan, ia akan berhenti sendiri. Aku selalu berangan juga dengan jam itu. Masa itu aku umur 12 tahun. Abah juga tak lupa anak lelaki abah yang pertama, selain jam baru abah, abah belikan aku seutas jam tangan. Masa tu jam RM30 ke atas dah kira mahal untuk kanak-kanak seusia aku. Aku tak pasti berapa abah beli. Tapi selepas aku tengok dikedai, harganya lebih kurang RM30. Jam itu pernah hilang sekali, ketika aku pergi kelas mengaji. Abah jugaklah yang usahakan mintak balik kepada ayah budak yang mengambilnya. Sebabnya, aku nampak budak itu pakai jam aku. Masa tu, jam tu jarang orang pakai. Lagipun, kawasan kampung batu satu tu bukanlah ramai sangat pun penduduk. Abah pulak kenal ayah budak tu. Akhirnya jam kembali ke tangan aku. Namun kecuaian aku sekali lagi membawa kepada kehilangan terus jam itu. Aku sudah hampir lupa situasinya. Aku rasa ketika kelas Jasmani dan Kesihatan. Aku tertinggal di tandas. Dan sejak dari itu, abah bagi pengajaran kepada aku, tiada jam sehingga aku ke MRSM.
Apapun, lepas abah tiada, mak sering pakai jam tangan baru abah. Tak kiralah ke mana sahaja dia pergi, jam abah tetap dia pakai. Mungkin tanda setianya kepada abah. Ye lah, membesarkan kami 8 beradik dengan kudrat mak seorang sahaja, tentunya tak ternilai dengan harga sebuah jam.
Mak dulu menyara kami semua lepas abah tiada. Kami semua masih belajar. Duit pencen abah RM517 sebulan dan hasil mengambil upah menjaga anak orang… menanggung kami semua. Kadang-kadang mak ambil upah jahit baju saudara mara. Lepas lah mak beli barangan harian. Setiap 21 haribulan, kalau aku cuti semester, aku akan ikut mak ke bank, ambil duit pencen. Lepas tu, mak akan beli barangan keperluan sebelum balik dengan bas. Masa tu, ada jugaklah saudara mara yang menghulurkan bantuan. Dapat juga ringankan beban mak.
Apapun, raya ini, kali kedua aku tak pulang beraya. Sebab bertugas. Tapi aku akan kirimkan mak jam tangan itu nanti, melalui adik atau kakak aku. Biarlah mak dapat pakai jam ganti tu nanti. Walaupun mungkin tak sama, tapi aku harap, mak suka dengan jam itu. Tak mungkin jam itu mampu membayar pengorbanan mak. Tiap kali aku dengar lirik lagu DUHAI BONDA dari Nowseeheart; engkau ibu engkaulah bapa… pabila ayah tiada ; aku sematkan dalam hati, nekad gantikan jam itu. Aku tak tau kenapa aku sayang pada jam itu. Mungkin sebab abah tak lupa belikan aku jam pada masa dia beli jam baru.
Selain itu, raya juga aku akan teringat saat-saat kami sekeluarga berjalan hampir satu kilometer ke pusara abah. Pagi raya kedua, mak akan kejut kami awal. Supaya semua dapat bersiap dan bertolak awal. Takut nanti jalan panas. Kami masing2 pikul tikar, air mawar dan surah yassin ditangan. Kalau hujan pun, kami berpayung. Lepas bersih kubur. Kami sedekahkan bacaan yassin untuk abah.
Lepas habis, kami jalan lagi. Setiap kali raya, lepas ke kubur abah, mesti kami ke rumah Che Long, kakak mak. Lebih kurang satu kilometer lagi dari kubur. Rumah Che Long tempat abah hembuskan nafas terakhirnya. Malah mak dan abah memang rapat dengan keluarga Che Long hingga saat ini. Che Long pun dah tiada. Tapi kami adik beradik tetap ke sana tiap kali raya kedua. Seterusnya ke rumah adik abah yang terletak berhampiran. Lepas tu, kami ditumpangkan mana-mana saudara yang sudi menghantar kami pulang ke rumah.
Biar apapun, raya tentunya kenangan indah buat aku sekarang ini. Aku yakin, mak akan pakai jam hadiah aku nanti pergi kubur abah. Mak akan pakai pergi raya rumah saudara … moga jam baru nanti, tanda kasihku buat insan yang bergelar MAK!